Cabaran dalam Perkembangan Sastera Melayu
Apa itu Kesusasteraan Melayu?
Kesusasteraan Melayu adalah satu bidang yang mempunyai keunikan dan kelebihannya tersendiri. Sastera Melayu juga melambangkan keindahan dan ketenangan. Setiap penulisan karya sastera boleh dikatakan sebagai ciptaan seni yang menggunakan bahasa bersifat kreatif dan bukan sahaja terhad kepada penulisan semata-mata, tetapi juga dalam bentuk lisan yang dilafazkan dalam pertuturan dan percakapan.
Cabaran Perkembangan Sastera Melayu
Perkembangan zaman yang semakin moden dan maju telah memberi kesan yang besar dalm bidang kesusasteraan Melayu. Kita boleh lihat permintaan dan penggunaan sastera semakin kurang dalam kalangan masyarakat. Perubahan zaman ini telah menjadi satu cabaran utama dalam perkembangan sastera. Terdapat juga beberapa cabaran lain ekoran hal tersebut. Antara cabarannya ialah peluang pekerjaan yang terhad bagi pelajar pengajian kesusasteraan. Hal ini dikatakan demikian kerana peluang pekerjaan bagi golongan tersebut kebiasaannya terhad kepada guru,novelis dan juga pensyarah. Hal ini menyebabkan subjek yang dipelajari telah mengalami perubahan dengan penerapan beberapa kemahiran seperti kemahiran pemikiran analitik agar pelajar pengajian sastera Melayu dapat memenuhi kehendak pasaran kerja di peringkat tempatan mahupun global. Oleh itu, kemahiran yang diterapkan dapat melayakkan mereka memohon pekerjaan seperti pengacara dan eksekutif pemasaran.
Cabaran lain adalah berkenaan subjek sastera yang tidak lagi menjadi keutamaan dalam pemilihan kursus ke universiti. Kebanyakan pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) lebih tertarik untuk mengikuti bidang sains ke peringkat diploma dan ijazah. Bagi mereka, pengkhususan dalam bidang sains lebih mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja dan lebih berminat dengan kursus yang bersifat penggunaan dan pengalaman sebenar.
Selain itu, kurangnya minat membaca karya sastera dalam kalangan masyarakat juga menjadi satu cabaran dalam perkembangan sastera. Hal ini kerana bahasa yang digunakan dalam karya sastera berkemungkinan sukar difahami oleh masyarakat dan penggunaan elemen tertentu menyebabkan segelintir masyarakat kurang memahami isi kandungan karya dan akan menganggap sastera membosankan.
Sesebuah karya sastera memerlukan penekunan dalam pembacaan dan mesej yang ingin disampaikan juga mempunyai maksud tersirat maka berbeza dengan bahan bacaan yang lain iaitu lebih ringkas dan mudah difahami.
Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan dunia kesusasteraan dapat dipertahankan dan diperkembangkan lagi. Oleh itu, beberapa pihak yang terlibat perlu mengambil inisiatif mewujudkan pelbagai program yang melibatkan kesusasteraan Melayu bagi memastikan cabaran yang dinyatakan dapat diatasi dan seterusnya sastera dapat dikembangkan lagi hingga ke persada dunia.
Comments
Post a Comment