Kritikan Konflik Drama TV : Cermin Kasih
Kritikan Terhadap Konflik Rumah Tangga
Sikap seorang suami yang mementingkan diri sendiri dapat dilihat melalui watak Amran yang sanggup menyuntik Marina dengan jarum yang mengandungi dadah kerana dia terlalu menyayangi Marina dan tidak sanggup melepaskan isterinya serta dia tidak mahu perbuatannya terbongkar terutama terhadap keluarga mertuanya. Bukan itu sahaja, Amran sanggup menjadikan isterinya seorang pengedar dadah demi kepentingan dirinya supaya memperoleh lebih banyak keuntungan. Konflik rumah tangga ini sepatutnya dapat dielakkan jika Amran masih menyayangi Marina maka dia perlu bersikap lebih toleransi dengan isterinya dan berubah menjadi seorang suami yang lebih baik meninggalkan segala aktiviti yang melibatkan dadah. Sikap ini perlu dielakkan kerana perkara ini mendorong sesebuah rumah tangga itu mengalami masalah dan seterusnya membawa kepada masalah penceraian dan kematian seperti yang berlaku kepada Amran.
Sikap Tidak Jujur Terhadap Pasangan
Drama ini memperlihatkan sepasang suami isteri yang dilihat bahagia pada awal perkahwinan mereka. Situasi bertukar suram dan pertelingkahan berlaku apabila Marina mengetahui perkara sebenar mengenai pekerjaan suaminya. Marina amat kecewa dan sedih apabila suaminya tidak jujur terhadapnya kemudian konflik ini menyebabkan Marina tidak sanggup tinggal sebumbung bersama Amran. Jika Amran jujur menyayangi Marina sepatutnya dia meninggalkan segala pekerjaan haram yang dia lalukan dan membina hidup yang baru dan berusaha membahagiakan Marina dnegan cara yang betul.
Suami yang Tidak Menjalankan Tanggungjawab Dengan Baik
Dalam drama ini, watak suami iaitu Amran yang terlibat dalam sindiket dadah yang merupakan satu pekerjaan haram. Jadi kita boleh lihat nafkah yang dia berikan kepada isterinya Marina juga haram kerana hasil daripada pekerjaan haramnya. Sebagai seorang suami, kita perlu memahami tanggungjawab dalam sesebuah rumah tangga terutama dari segi nafkah kepada isteri. Perkara ini mendorong sesebuah rumah tangga itu mengalami konflik dan seterusnya membawa kepada pergaduhan.
Secara rumusnya, kita dapat lihat bahawa konflik dalam rumah tangga ini bukan sahaja disebabkan orang ketiga seperti yang berlaku kepada masyarakat sehinggalah kini malah konflik ini juga boleh terjadi apabila salah seorang pasangan melibatkan diri dengan gejala negatif dan haram seperti pengedaran dadah. Konflik ini dapat dikaitkan dengan teori strukturalisme genetik dimana masalah rumah tangga ini sering dihadapi oleh setiap pasangan yang sudah berkahwin iaitu perkara ini boleh membawa kepada perpecahan, pergaduhan dan sebagainya. Hal ini dikatakan demikian kerana lakonan yang dipaparkan mampu memberi kesan kepada penonton dan menjadikan drama ini sebagai pengajaran kepada mereka supaya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.
Comments
Post a Comment