Busana Tradisional di Malaysia

 Busana Tradisional merupakan satu cara atau etika pemakaian oleh sesebuah komuniti masyarakat dan etnik pelbagai kaum di Malaysia. Setiap busana tradisi memiliki ciri-ciri atau keistimewaan yang menjadi lambang atau identiti sesebuah masyarakat mengikut agama, bangsa dan amalan serta aktiviti seharian mereka. Terdapat pelbagai busana tradisional yang dapat dilihat:


Baju Kurung Ibu Soko

Baju ini merupakan busana tradisional bagi Negeri Sembilan. Ibu Soko melambangkan seorang wanita yang berilmu dan berpengalaman tentang peradapan serta kehidupan perjalanan adat khususnya mengenai salasilah kekeluargaannya. Busana ini digayakan mengikut daerah di Negeri Sembilan. Contohnya, bagi daerah Kuala Pilah dilengkapi dengan sehelai kain samping ikatan ombak beralun di pinggang. Ikatan kain samping ini mempunyai maksud dan falsafah yang tertentu iaitu melambangkan tanggungjawab yang harus dipertanggungjawabkan dan tidak boleh berbuat sesuka hati.


Baju Kebaya Pendek Pahang

Busana ini dipakai sebagai pakaian harian dan juga sesuai dipakai semasa majlis-majlis keramaian oleh isteri-isteri pembesar. Material kain yang digunakan seperti kain kasa, kain kapas, kain broket dan kain tenun Pahang mengikut status pemakaiannya. Manakala perhiasan kepala pula dikenakan dengan cucuk sanggul dan bunga. Kebaya Pendek Pahang ini mempunyai potongan besar dan pesak di bahagian hadapan baju dan mempunyai kekek di bahagian ketiak. Baju ini dipakai bersama tiga kerongsang dan selendang disadang di bahu kanan. 


Baju Putera Kebaya Labuh Perak

Busana ini menampilkan pakaian baju Melayu Cekak Musang dan seluar Rencong Acheh dipadankan bersama pemakaian samping Ikatan Ombak Beralun dan dikemaskan bersama lilitan bengkung di pinggang. Manakala kepala dihiasi tanjak Ikatan Lang Menyosong Angin dan dilengkapkan perhiasan rantai leher, pending emas dan kasut capal bertekat benang emas.


Baju Cina/ Samfoo 

Baju Tradisi Cina ataupun Samfoo ini menjadi pakaian yagn digemari oleh lelaki Cina. Baju ini dipadankan bersama seluar slack yang longgar dengan warna yang bersesuaian. Baju Cina atau Samfoo ini diperbuat daripada kain satin dengan tekstur motif-motif tradisi kaum Cina. Baju berbelah depan berkolar ini dijahit longgar dan dipasang dengan butang-butang simpul yang cantik dan kemas. Baju ini dipakai oleh sebilangan kaum Peranakan Cina atau Baba Nyonya Melaka pada hari perayaan dan majlis-majlis keramaian. 



Comments

Popular posts from this blog

Pulau Kapas

Hayati Sinopsis Ranjau Sepanjang Jalan Karya Shahnon Ahmad

Kritikan Drama TV: Dia Isteri Luar Biasa